Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, July 26, 2013

Kedatangan Dato Bahaman ke Kelantan

Disalin dari :http://wanhanafi.blogspot.com/2009/01/kedatangan-dato-bahaman-ke-kelantan.html

Kedatangan Datuk Bahaman Ke Kelantan Versi Keturunan Long Gaffar
...Semasa di Hulu Sat @ Machang, Long Mansur (cucunda Baginda Long Gaffar ) banyak menghabiskan masa dengan kegemarannya iaitu menjinakkan gajah yang diambil di Hulu Lebir (Hulu Kelantan). Pada satu masa, ketika baginda berada di sana, datang rombongan Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya bagi meminta perlindungan di Kelantan setelah melarikan diri dari buruan Inggeris di Pahang. Pemberontakan Dato’ Bahaman di Pahang bermula pada 8 Oktober 1891 selepas beliau dilucutkan jawatan sebagai Orang Kaya Semantan oleh Sultan Ahmad kerana enggan menurut perintah Inggeris yang melarangnya mengutip cukai. Beliau dikatakan telah melarikan diri ke Kelantan pada akhir tahun 1894 selepas gagal dalam pemberontakan tersebut. (Sejarah Darul Iman, m.s 241).Semasa kejadian peristiwa ini, pemerintahan Kota Bharu bertukar kepada Sultan Mansor. Dato’ Bahaman dikatakan merupakan keluarga Sultan Mansor dan beliau membahasakan Sultan Mansor sebagai “Abang” di dalam percakapannya. Berita kedatangan Dato’ Bahaman ini diketahui oleh Sultan Mansor, lalu beliau datang berjumpa Baginda Long Mansor di Machang bagi memintanya supaya menjaga dan melindungi Dato’ Bahaman dan keluarganya. Baginda Long Mansor pada masa itu tidak terfikir akibat daripada tindakannya itu tadi kepada kesinambungan pemerintahan keturunan Long Ghafar di Kelantan. Tindakan Sultan Mansor tersebut adalah helah beliau bagi mengelakkan dirinya daripada tuduhan melindungi Dato’ Bahaman yang pada masa itu menjadi buruan Inggeris. Kata Sultan Mansor, “ Pak Do tolong ambil orang kita di Hulu Lebir dan bawa balik ke rumah serta peliharalah”. Long Mansor tidak membantah, lalu tinggallah Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya di Machang di bawah jagaan Long Mansor. Menurut satu riwayat, beliau tinggal di sana selama 2 _ tahun. Menurut catatan di dalam buku Sejarah Darul Iman (m.s 240) Dato’ Bahaman serta pengikutnya seramai 12 orang telah membuat kediaman di Sungai Ampul, iaitu cawangan daripada Sungai Lebir di Hulu Kelantan pada akhir tahun 1892. Berita Dato’ Bahaman mendapat perlindungan di Kelantan akhirnya telah diketahui oleh Inggeris, lalu wakil kerajaan Inggeris telah datang ke Kelantan dan berjumpa Sultan Mansor di Kota Bharu meminta supaya menyerahkan “penderhaka” tersebut. Kata Sulltan Mansor, “Kita tidak boleh buat apa-apa kerana kita di bawah takluk Bangkok. Kalau nak selesai dengan mudah minta sendiri pergi ke Bangkok minta kebenaran Raja Siam untuk tangkap keluarga Dato’ Bahaman”. Mereka kemudiannya pergi ke Bangkok bagi meminta keizinan. Raja Siam memerintahkan dengan perintahnya, “Kalau tak dapat Dato’ Bahaman, orang yang beri perlindungan kepada beliau, siapa saja akan menjadi ganti”. Maka terkenalah Baginda Long Mansor dengan tipu muslihat Sultan Mansor.Orang-orang Inggeris itu kemudiannya kembali semula ke Kelantan bersama-sama dengan askar-askar Siam. Berita kedatangan askar-askar Siam untuk mengambil Dato’ Bahaman itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu baginda pergi berjumpa dengan Tengku Chik Tua Machang meminta nasihat. Beliau menasihati Baginda Long Mansor dengan katanya, “ Kita tak boleh lawan Siam, sebab anak kita duduk di Kota Bharu (iaitu Tengku Salleh, anak Long Mansor yang berkahwin dengan anak sultan yang bernama Tengku Tengah atau Tengku Kembang, anak Long Sulong atau Sultan Ahmad)”. Tambahnya lagi, “Jangan lawan Siam sebab seluruh keluarga kita akan dibunuh oleh Siam”.Selepas itu Baginda Long Mansor balik dan memanggil Dato’ Bahaman mengadap, lalu menceritakan keadaan yang sebenarnya. Kata Dato’ Bahaman, “Kita hanya patuh kepada keturunan raja Melayu yang asal, kita tidak kira siapa yang memerintah, mati pun kita redha, berkhidmat kepada raja Melayu”. Baginda Long Mansor amat bersimpati akan nasib Dato’ Bahaman, lalu memintanya berundur daripada Machang. Terdapat dua cara berudur yang digunakan, iaitu;1. Keluarga Dato’ Bahaman berundur ke Kuala Berang, Terengganu.2. Dato’ Bahaman pula, seorang diri pergi ke Menara (Narathiwat).Pada masa Dato’ Bahaman mengadap Baginda Long Mansor itulah, askar-askar Siam telah mengepong keluarga serta pengikut Dato’ Bahaman di rumah Tengku Deraman di Kampung Kok Kiok di Bukit Bakau, Machang. Berita kepungan itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu katanya, “Dato’, keluarga Dato’ telah dikepong oleh askar-askar Siam pada masa maghrib”. Dato’ Bahaman kemudiannya terus pergi untuk menyelamatkan keluarganya yang sedang dikepong. Bersamanya dibawa lembing yang bernama “Beringin” (lembing berupa daun sireh), yang dikatakan mampu untuk memukau orang.Apabila tiba di sana, lembing tersebut terus dipacakkan ke tanah di hadapan tangga rumah yang dikepong. Akibatnya semua askar Siam yang sedang mengepong itu dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku. Lantas Dato’ Bahaman menyuruh seluruh keluarganya turun dan melarikan diri ke Hulu Terengganu (Kuala Berang). Kemudian, pada malam itu juga Dato’ Bahaman melarikan diri ke Menara. Menurut Buku Darul Iman (m.s. 242), pada November 1895, Dato’ Bahaman, Awang Nong, The Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela, telah menyerahkan diri kepada orang-orang besar Siam lalu dibawanya ke Siam. Sebenarnya Dato’ Bahaman tidak pernah menyerah diri kepada Siam. Apa yang dilakukan ialah beliau melarikan di ke Menara dan bersembunyi di sana.Pada pagi keesokannya, askar-askar Siam itu menangkap Baginda Long Mansor dan di bawa ke Kota Bharu. Di sana tiga orang lagi ditangkap iaitu;1. Pak Nik Ya (penghantar bunga emas).2. Dato’ Lela Perkasa Lundang.3. Tuan Tabal.Keempat-empat orang ini dibawa ke Bangkok sebagai tahanan selama tiga tahun. Apabila genab tiga tahun, tiga orang dihantar pulang ke Kota Bharu, tetapi Baginda Long Mansor dikatakan telah meninggal dunia semasa di dalam tahanan kerana penyakit “orang baik” (barah) dan dikebumikan di Bangkok (ditanam di dalam selut). Sebenarnya Baginda Long Mansor mati dibunuh dan hal ini diceritakan oleh Tok Kancil, iaitu pengawal peribadinya yang bersama-sama baginda semasa dalam tahanan di Bangkok. Menurut ceritanya, kepala baginda disimpan dalam muzium di Bangkok sehingga ke hari ini, bersama-sama dengan kepala Tuan Lebih iaitu Raja Reman.....berdasarkan catatan ini jelas bahawa Datuk Bahaman tidak mati dibunuh oleh Siam (atas arahan British)...beliau dikatakan muncul semula "lewat" kemunculan Mat Kilau....walaubagaimanapun kumunculan Datuk Bahaman (Tok Guru Peramu) tidak diiktiraf kerajaan khususnya kerajaan Pahang dipercayai atas sebab-sebab berkaitan dengan "tahta" Kesultanan Pahang....lagipun "Tok Guru Peramu" juga enggan mengaku bahawa beliaulah Datuk Bahaman...jadi kisahnya kemudiannya lenyap begitu sahaja....
Dikirim oleh asrol pada Friday, 12 December 2008 (44 )

Wednesday, July 24, 2013

Ziarah 11 dan 12 Ramadhan

Dihadapan makam Almarhum Long Yunus

Busut di atas belindan Almarhum Long Yunus

Makam Sultan Muhammad I

Sultan Muhammad II

Sultan Muhammad III dan Sultan Mansur

 Almahrum Tengku Abdul Kadir Kamarudin (Raja Patani terakhir)
Ayahanda kepada Tengku Mahmood Mahyideen

Temgku Mahmood Mahyiddin

Batu Nisan dengan keterangan

Long Deraman

Long Sulaiman
Makam Tok Janggut


Melawat Roswadi Rajab yang mengalami kemalangan di wad 2 Intan HUSM

Almarhum Long Gaffar ibni Datu Reman

Thursday, July 18, 2013

Ziarah 9 Ramadhan 1434 bahagian 2 - Makam Sultan Omar dan Raja Bahar

Sambungan dari bahagian 1

Sedang rancak kami berbual dengan Hj Halim, saya mendapat panggilan untuk kembali ke Kubang Kerian. Perbualan dengan Hj Halim semakin menarik, sayang pula hendak berhenti.

Saya mengambil keputusan pulang ke Kubang Kerian terlebih dahulu menyelesaikan beberapa hal.
Usai solat zuhur kami menyambung semula misi ke Kota Jembal pada hari ini. Sebelum tiba di Kota Jembal, kami masuk ke Jalan Kota Senang Menuju ke Taman Senang. Dari tepi jalan itu sudah kelihatan papan-papan tanda yang memandu arah ke Makam Sultan Omar.




Selesai menziarahi makam Sultan Omar, perjalan diteruskan ke Kota Jembal kami masuk ke satu lorong di sebelah SK Kota Jembal. Sebelum ini saya pernah diberitahu terdapatnya sebuah makam di kawasan memandangkan kawasan ini merupakan laluan saya berulang alik ke tempat kerja di Kg Kemayang di Tawang.

Rupa-rupanya kawasan makam ini tersorok ditumbuhi pokok ubi kayu dan tumbuhan liar lainnya. Terpaksalah kami mengharungi belukar untuk menghampiri makam ini. Dari jauh kelihatan tiang pagar makan yang berwarna kuning.

Hanya tiang pagar ini sahaja yang kelihatan, yang lain tenggelam dalam kehijauan belukar

Makam Raja Bahar yang kelihatan selepas semak samun diselak

Ziarah 9 Ramadhan 1434 bahagian 1 - Makam tok kenali, dan guru-guru tua

Kebetulan pagi ini (khamis), saya mempunyai sedikit kelapangan. Jadi saya mengajak Long Muhammad bagi melawat beberapa makam dan guru-guru tua. Perancangan asalnya hanya ingin melihat makam sultan Omar dan Raja Bahar, memandangkan dalam perjalanan ke Kota Jembal, kami juga akan melalui Kenali dan rumah beberapa guru tua yang sedang uzur, maka kami singgah di beberapa perhentian.

Perhentian pertama adalah makam Tok Kenali. Rupanya makam Tok kenali ini begitu dekat dengan saya. Saya selalu melalui kawasan ini dan pernah melihat beberapa papan tanda, tapi masih belum digerakkan untuk menghampirinya. Baru kali ini saya diizin menghampiri makam Tok Kenali.

Makam Tok Kenali di bawah binaan wakaf


Setelah menziarahi makam Tok Kenali, kami menuju ke rumah Cikgu Nik Ahmad, selaku setiausaha Persatuan Kerabat Raja Jembal, serta aktif mengajar tasauf di masjid-masjid sekitar Kota Bharu.

Beliau sangat aktif dalam masyarakat dan sangat gigih ke sana ke mari menimba ilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat.

Bersama Cikgu Nik Ahmad yang uzur lebih dua bulan

Selesai di rumah Cikgu Nik Ahmad, kami memecut lagi. Kali ini menuju ke Kota Jembal. Dalam perjalanan, kami singgah ke rumah Hj Abdul Halim Bashah (IBHAR) yang banyak menulis mengenai Melayu, wali songo, dajal, imam mahadi serta peristiwa akhir zaman. 

Beliau juga agak kurang sihat dan pernah dihantar ke hospital beberapa kali sebelum memasuki bulan Ramadhan ini. Saya beberapa kali tertangguh hasrat berjumpa dengan beliau, hikmahnya, dapatlah saya mengenali rumah beliau.

Berkongsi sejarah Kelantan bersama Long Muhammad

Sempat bergambar bersama Hj Halim, beliau merupakan anak kelahiran Kedah, namun menjadi rujukan sejarah Kelantan
bersambung ke bahagian 2

Monday, July 15, 2013

Urat Dawai Tulang Besi - hikmah bertari


Isi besi dipadu bila bertari - oleh Azlan Ghanie 
dipetik dari Majalah Seni Beladiri Mac 2004 - ms 54 kolum Senaman Tua

Satu ketika dahulu, juga yang tidak tahu rahsia tari dalam Silat Melayu hingga mereka memperlekeh tari. Dalam seminar, isu itu disampaikan kepada peserta yang baru hendak mengenali beladiri. Isu ‘kutuk’ orang silat dengan dakwa bertari dan berbunga sebagai buang masa.

Isu ini isu lama. Suara perlekeh itu sudah jarang kedengaran lagi. Mungkin mereka sudah celik atau sedar dari tidur.

Penulis sendiri melihat dan mendengar orang sebegini bercakap dalam seminar, namun kehadiran sebagai wartawan… ketika itu, penulis no comment. Buat tak reti aje.

Bila membuat laporan dan disiarkan dalam majalah, dakwaan seumpama itu tidak dimasukkan. Penulis percaya dan yakin, mereka akan sedar dan insaf bila menemui kebenaran.

Kerana yang diberitahu itu ialah generasi baru. Ada yang tidak pernah melihat tari silat.
Apapun, yang tidak tahu akan terus tidak tahu.

Suara yang pertikai itu, sebenarnya tidak mengutuk mana-mana silat. Hanya tidak Nampak realistiknyabila bertari pulut dan sebagainya. Namun jika tidak bertanya atau berguru, rahsia bertari pulut itu tidak akan diketahui.

Kini, suara sedemikian sepertimana dikatakan, tidak berkumandang lagi. Mungkin diri sudah berilmu.
Mungkin sudah sedar, tari silat lain perguruan lain gayanya, namun konsepnya sama.

Jika taichi dikatakan senaman untuk golongan tua. Ia membuktikan golongan itu berada dalam kesihatan yang baik. Bila dibuat kajian, gerak perlahan boleh menghasilkan pergerakan ‘luar biasa’.

Begitulah tari pulut, tak perlu tunggu usia lanjut. Terlangsung, bila sudah bertari, badan atau fizikal berada dalam tahap kecergasan yang terbaik. Ambil contoh perguruan yang bertari termasuk Gayung Fatani, badan pengamal pengamal cukup mantap dan kemas. Tidak perlu masuk gim.

Mempelajari beladiri perlukan komitmen dan mempelajari tari memerlukan bukan sahaja komitmen tetapi kekuatan mental dan fizikal. Kreativiti dan ilmu kecergasan jika diambil kira, bakal memahami lagi segala perbuatan.

Namun, seperti biasa, ada golongan enggan mempelajari beladiri, apatah lagi silat yang betari. Mungkin takut badan sakit, diperlekeh kawan, atau peel suka perlekehkan orang beladiri seperti berkata: “Kenapa hendak belajar beladiri… senjata api ada”.  Ego sebegini adalah sama dengan ‘nikmat’ makanan segera.

Kembali isu tari pulut atau Tari Pendekar, yang benar tetapi tidak hairan, tiada guru tua yang mengamal tari itu membalas. Tiada yang melenting malah mereka senyum dengan dakwaan itu.

Di Pahang, Tari Pendekar masih terpelihara dan penulis akan sedaya upaya memeliharanya bersama rakan-rakan seperjuangan di Negara itu.

Bila bertari, semua otot-otot bergerak. Adakala ‘main’ rendah, sederhana dan tinggi. Ada masa perlahan dan ada mas laju. Ini menepat kehendak sains sukan, aerobic dan anaerobic.

Ahli  gim akan menggunakan dumbell dan barbell untuk beban tambahan. Orang silat bila bertari dengan senjata, otot dalam tangan hidup dan mantap. Kerana itu, yang tahu bermain peroleh ‘rasa’.
(Contoh permainan ‘rasa’ – mereka yang memegang kuat tangan pesilat, tidak tahu bila dan bagaimana pegangan terbuka… hanya tahu ia sudah terbuka.)

Bagi pengamal tari. Tidak hairan dengan sebutan kelakar, tulang besi urat dawai. Bertari dalam kajian penulis, akan menguatkan otot-otot dalaman. Kerana itu, kekuatan dalaman tangan agak luar biasa kepada bukan pengamal.

Pengamal tari banyak menggunakan pernafasan, oksigen juga merawat kecederaan atau penyakit dalam tubuh badan.

Kerana itu, mereka atau golongan guru tua kelihatan bergerak ‘muda’ dan mempunyai tubuh badan yang ‘sedap’.

Wednesday, July 10, 2013

1 Ramadhan 1434 - hakikat berlapar

Kehadiran bulan Ramadhan yang dinanti setiap tahun oleh semua umat Islam disambut dengan penuh syukur dan kemeriahan pesta ibadah. Syukur pada tahun ini aku masih diberi peluang ke madrasah tarbiah Ramadhan lagi dalam keadaan yang lebih sihat dan sejahtera dari sebelumnya. Nikmat Ramadhan pada tahun ini diperolehi dengan harga yang sangat tinggi bagiku.

Aku telah dipersiapkan fizikal seperti 10 tahun yang lalu, dengan perut yang cepat kenyang serta tidak boleh makan sebanyak 10 tahun lalu. Juga syukur kerana sebulan sebelum bertemu Ramadhan, aku diberi peluang merasai terapi bekam yang penuh dengan hikmah dan rahsia dari Yang Maha Pencipta.
Sesungguhnya nikmat fizikal yang sihat adalah antara nikmat yang besar dalam kehidupan manusia. Benar sekali jika dikatakan rasulullah selalu berlapar.

Dibawakan beberapa hadis mengenai berlapar.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Seseorang tidak pernah memenuhkan karung seburuk perutnya, cukuplah bagi seseorang beberapa suapan untuk membetulkan tulang belakangnya (memperolehi tenaga), jika perlu untuk mengambil lebih, maka satu pertiga ruang untuk makanan, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk pernafasan.”
(hadith riwayat Imam Ahmad, Termidzi, Ibnu Majah dan Nasa’i).

“Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari Abu Hurairah ra, katanya:
Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah SAW. Beliau bersabda: Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang kafir makan untuk tujuh perut."
(Shahih Bukhari)

Nabi SAW juga bersabda, “Perut adalah rumah segala penyakit”.

 “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Al-'Araf 7:31)

Syukur sekali aku ditunjukkan hikmah berlapar sebelum bertemu Ramadhan maka masuk saja Ramadhan boleh ditumpukan kepada pengisian kerohanian yang hakikatnya merupakan perkara yang berkali ganda lebih penting berbanding fizikal. Moga kita sama-sama dapat menemui hakikat penciptaan dan diberi rahmat, pengampunan serta pembebasan dari neraka Nya.

Link yang membantu pemahaman pengurangan kandungan lemak dalam badan:

http://www.taknakgemuk.com/
http://www.sihatselalu.com.my/2010/09/diet-tetap-gemuk-kerana-rendah-bmr.html

Boleh dikaji semula sunnah berbekam yang dianjurkan rasulullah serta amalan pengambilan garam.

http://tenteraberkuda.blogspot.com/2013/06/tentang-bekam-kebaikan-berbekam.html
http://tenteraberkuda.blogspot.com/2013/10/titik-titik-bekam-utama-bekam-sunnah.html
http://tenteraberkuda.blogspot.com/2013/05/rahsia-pengambilan-garam-oleh.html

Serta khazanah kecergasan melayu yang menjadi amalan

http://tenteraberkuda.blogspot.com/p/abc.html

Saturday, July 6, 2013

Membersihkan makam Dato Lundang





Sabtu (6 Julai 2013) - Program gotong royong bagi membersihkan kubur di Jalan Imam, Lundang oleh penduduk Kg Lundang beserta KRT Lundang. Satu kumpulan ditugaskan bagi menyelenggarakan semula kubur pengasas Lundang serta Raja-Raja Lundang lainnya.

Baca kisah pemilik makam ini dalam pautan ini:
http://tenteraberkuda.blogspot.com/2013/03/menziarahi-kubur-leluhur-di-lundang.html

Batu nisan serta belindan yang jatuh, tenggelam diperbetulkan semula sekadar yang mampu. Ternyata batu-batu yang digunakan amat berbeza dengan kebanyakan kubur lain dan terpaksa menggunakan tenaga manusia yang ramai bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Gambar-gambar semasa gotong royong:
(sumber FB KRT Lundang)




Makam Mandur Mis dan Dato' Besar setelah diselenggara semula belindannya
Bandingkan struktur kubur-kubur ini dengan gambar-gambar lama sebelum penyelenggaraan dijalankan.

Sumber: http://long-mohd.blogspot.com/2012_06_01_archive.html

Monday, July 1, 2013

Tokku Paloh

Sumber: http://akumama.blogspot.com/2012/06/tokku-paloh-ulama-hebat-terengganu.html


Assalamualaikum wbkt..

Kalau kita tanya anak anak kita..siapa Tuan Tulis dari Negeri Sembilan, siapa Syeikh Mohammad Nor al-Kholidi dan Tokku Paloh dari Terengganu, Syeikh Said al-Linggi yang juga berasal dari Negeri Sembilan, Habib Nuh dari Singapura,  Tok Kenali dari Kelantan dan Tuan Hussein Kedah al-Banjari dari Kedah, tentu mereka tak tahu dan tak kenal pun.  Tak payah kata anak anak,  kita yang dah separuh abad pun tak kenal dengan mereka..jadi mula dari sekarang marilah kita galakkan diri kita dan anak anak untuk mengenali insan insan hebat ini..supaya membenih di jiwa anak anak cintakan ulama terdahulu dan ingin menjadi hebat seperti mereka..bukan sahaja di mata masyarakat malah yang paling penting di sisi yang Maha Esa..

Siapa Tokku Paloh

(artikel diambil dari blog : Catatan Si Merah Silu ; tetapi tidak sepenuhnya)

meninggal ketika berumur 102 tahun..


Masyarakat Malaysia yang celik sejarah perkembangan Islam di Kepulauan Melayu serta cerita para wali yang terlibat mesti pernah mendengar nama Tokku Paloh. Beliau atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus adalah ulamak terkenal yang menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III, pemerintah Terengganu penghujung abad ke 19. Tokku Paloh juga dikenali sebagai wali Allah penuh karamah yang sangat ditakuti penjajah.

Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.





Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)


Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah kepada Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tokku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya... Maksudnya Tokku Paloh lah yang lebih berhak membuat keputusan. Pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh bertegas tidak mahu memberi walau seinci pun tanah. Inggeris yang berang bangun untuk menunjukkan kemarahan tetapi kerusi pula melekat dipunggung mereka. Lalu Tokku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."


Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tokku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamirkan kekuatan angkatan laut mereka dengan meriam berkuasa tinggi yang mampu membedil pantai Terengganu, satu taktik yang dikenali sebagai "gunboat diplomacy". Tokku Paloh cuma menyengetkan serbannya lalu seluruh armada kapal laut Inggeris turut senget sama! Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.  Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919  barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.




Makam-makam di atas puncak bukit... Ini adalah makam sanak-saudara Tok Ku Paloh seperti sepupu, saudara dua pupu, ibu saudara dan sebagainya...



Makam Tok Ku Paloh dan sanak-saudaranya yang terdekat, di dalam kawasan berpagar batu yang kelihatan ini...



Makam Tok Ku Paloh pula terletak di dalam kawasan berpagar besi yang terkunci... 



Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!



Di belakang masjid ini, terletak makam Tokku Tuan Besar...Tokku Tuan Besar ialah satu gelaran yang diberikan kepada beliau kerana pernah menjadi ketua ulamak Terengganu pada zamannya... 

Nama penuh Tokku Paloh ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad (Tokku Tuan Besar) bin Sayyid Zainal Abidin bin Sayyid Sheikh @ Sayyid Hussein bin Sayyid Mustapha.

KRU Surau Kg Tengah telah menziarah dan bertahlil di makam ini pada hari ahad,  hubby terlepas dengan program ini..

Tok Pulau Manis

Sumber: http://tabutjawi.blogspot.com/2012/05/tokku-pulau-manis-syeikh-abdul-malik.html


Salah seorang ulamak silam Terengganu yang masih segar namanya meniti dari mulut ke mult sehingga generasi sekarang ialah Tokku Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Selain daripada kemasyhurannya dalam usaha dakwah, Tokku Pulau Manis juga memainkan peranan dalam melantik Tun Zainal Abidin I, sebagai salah seorang pemerintah di Terengganu.
Salasilah keturunan Tokku Pulau Manis ini sangatlah rumit untuk diteliti kerana ramai yang mendakwa keturunan beliau, tetapi mempunyai salinan salisah yang berbeza. Namun semua perbezaan tersebut mempunyai sebab-sebabnya tersendiri. Daripada penemuan penulis sendiri, telah menemui dua catatan salasilah dengan hanya sedikit sahaja perbezaan. Iaitulah bahawa Tokku Pulau Manis adalah berketurunan Sultan Wan Abdullah Umdatuddin (Raja Champa, 1471 – 1478). Cuma perbezaan yang dimaksudkan ialah jaluran yang menurunkan zuriat sehingga Tokku Pulau Manis dikatakan dari dari Syarif Muhammad bin Syarif Nurullah bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin. Sedangkan salasilah lainnya menerangkan bahawa Syarif Muhammad bin Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin.


Penulis lebih meyakini bahawa Tokku Pulau Manis adalah jaluran Sunan Gunung Jati, namun begitu Syarif Nurullah adalah adik kandung kepada Sunan Gunung Jati. Hal demikian adalah bersandarkan kepada beberapa catatan sejarah beserta tahunnya dan atas beberapa faktor lain lagi. Namun dapat disimpulkan bahawa Tokku Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik ini adalah dari marga Sayyid Hussein Jamadil Kubro menerusi cicitnya Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati). Syarif Hidayatullah itu juga cucu kepada Sayyid Ali Nurul Alam atau Sultan Qunbul.
Sunan Gunung Jati mempunyai beberapa orang saudara melalui 3 orang ibu. Perkahwinan pertama bapanya, Wan Abdullah Umdatuddin dengan Nyai Rara Santang @ Syarifah Mudaim telah melahirkan Syarif Hidayatullah  dan Syarif Nurullah. Perkahwinan kedua bapanya dengan Syarifah Zainab binti Sayyid Ibrahim al-Hadhrami telah melahirkan Sultan Alam Akbar al-Fattah @ Raden Fatah (Sultan Demak). Terdapat juga dakwaan bahawa Sultan Babullah (Sultan Ternate) juga bersaudara dengan Sunan Gunung Jati. Perkahwinan ketiga Wan Abdullah Umdatuddin dengan puteri Raja Chandranekalawa (Raja Champa) telah melahirkan Wan Abul Muzaffar Waliyullah.


Timbul pula persoalan kenapa Syarif Muhammad al-Baghdadi dikatakan berasal dari Baghdad. Soalan yang sama juga akan timbul jika kita menyelerusi keturunan Sunan Gunung Jati. Bapanya Wan Abdullah dikatakan berasal dari Mesir. Catatan di Indonesia banyak sekali berlawanan dengan sumber dari Kelantan dan Patani. Umpamanya, semua Wali Songo berasal dari Arab. Ada dari Hadramaut, Baghdad dan Mekah. Juga terdapat dakwaan keturunan Wali Songo itu dari China (Tiongkok). Ulama-ulama yang datang dari Patani serta Champa semuanya dikatakan dari Arab. Contonya, Syeikh Wan Hussein as-Senawi dari Patani berdakwah di Madura dikatakan orang Arab dari Hadramaut. Sedangkan Syeikh Wan Hussein itu adalah bapa saudara Sunan Gunung Jati, iaitulah adik kepada Sultan wan Abdullah Umdatuddin. Menurut cerita yang sampai ke telinga penulis, keturunan Tokku Pulau Manis pada zaman dahulu begitu merahsiakan asal usul mereka, sehingga cerita yang sampai ke telinga generasi kemudian hanya mengetahui  keturunan mereka adalah dari Wali Songo. Apabila usaha menjejak tiba ke Tanah Jawa, maka muncullah berbagai dakwaan seperti yang dinyatakan di atas.
Berikut ialah catatan yang penulis salin semula dari Pengkaji Ulama Nusantara termasyhur.

(Petikan Tulisan Almarhum Haji Wan Mohd Saghir – Khazanah Fathaniyah)
TOKOH yang acap kali memperkenalkan pelbagai aspek ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik Terengganu yang digelar dengan Tok Pulau Manis ini ialah Shafie Abu Bakar.

Namun, tulisan ini penulis mulai dari penemuan sebuah salasilah yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan adik-beradik Syeikh Abdul Malik Terengganu.

Tertulis pada bahagian atas salasilah, “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil ... (tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang, satu Abdullah dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu”.

Daripada salasilah di atas, ternyata terdapat kelainan dengan tulisan-tulisan sebelum ini, iaitu semua penulis termasuk penulis sendiri, menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abdul Malik Terengganu ialah Abdullah. Ada pun dalam salasilah di atas, ayahnya ditulis Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad.

Nama Abdullah itu adalah adik-beradik Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). Adik-beradiknya yang seorang lagi bernama Abdul Qahhar. Tetapi sebelum ini ada salah seorang keturunan ulama ini meriwayatkan kepada penulis bahawa datuk dan nenek kepada Syeikh Abdul Malik ialah Syarif Abdul Qahhar. Anak lelaki Syarif Abdul Qahhar itu bernama Abdullah, iaitulah ayah bagi Syeikh Abdul Malik.

Salasilah versi yang lain memberikan maklumat bahawa Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Saiyid Muhammad. Sangat sukar untuk mentahqiqkan riwayat yang bersimpang-siur seperti ini, tulisan-tulisan yang terdahulu masih belum dapat dimansuhkan sedang salasilah yang bertulis, yang baru diperoleh juga sukar ditolak.

Berdasarkan salasilah yang baru diperoleh, bahawa dari tiga orang adik beradik ulama yang berasal dari Baghdad itu, hanya Abdul Qahhar saja yang tidak tercatat meninggalkan anak dan zuriat. Abdullah iaitu adik beradik yang kedua, memperoleh seorang anak bernama Sulaih.

Sulaih menurunkan zuriat hingga kepada pemilik salasilah, iaitu Jamaluddin bin Yusuf Terengganu. Dicatat pada sudut kanan, “Pada tiap-tiap satu daripada keturunan Abdullah ini banyak lagi pecahan saudara dan anak-anaknya”.

Catatan dalam salasilah bahawa yang ramai meninggalkan zuriat ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis), yang berpunca dari tiga orang anaknya.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Abdul Malik ialah Shafie Abu Bakar, oleh itu dapat dirujuk tulisan-tulisannya. Dalam Pesaka II dengan judul Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah dan Karangan-karangannya.

Dalam Pesaka IV, dengan judul Hikam Melayu (HM) di Dalam Perkembangan Tasawuf Kedudukan dan Penetapan Pengarangnya. Juga tulisan Shafie bin Abu Bakar dimuat dalam buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, dengan judul Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam.

Penulis sendiri telah memperkenalkan ulama tersebut dalam Katalog Pameran Manuskrip Melayu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia dalam rangka Sempena Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua 15-20 Ogos 1989. Tulisan penulis pula dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990.

Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.

Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

PENDIDIKAN

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.

Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

KARYA-KARYA

Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.

Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M.

Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).

Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, “Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi ...”. Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.

Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).

Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan, “Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini”.

Di bawahnya lagi dijelaskan, “Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah”. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.

Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, “Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.

Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Ya’qub.

Huraian ringkas salasilah sebagai yang berikut: Daud (No. 1) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak; Sulaiman, Fatimah, Usman, Badruddin, Husein, Umar, Abu Bakar, Idris dan Khatib Muhammad Shalih

Salasilah terputus kecuali Khatib Muhammad Shalih dikatakan memperoleh anak bernama Ali.

Husein (No. 2) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya dua orang, ialah Yusuf dan Aisyah. Salasilah juga terputus.

Hasan (No. 3) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya seorang, ialah Zainab. Salasilah juga terputus.

Muhammad (No. 4) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh dua anak orang, ialah Wan Abdul Qadir dan Wan Semik. Salasilah juga terputus.

Musa (No. 5) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, salasilah juga terputus.

Isa (No. 6) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Aminah, Aisyah, Habibah, Salamah dan Haji Abdul Malik.

Aminah (No. 1) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Muhammad, Imam, Usman, Aisyah dan Asiah.

Salasilah terputus dan nama suami Aminah tidak tercatat dalam salasilah.

Aisyah (No. 2) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik juga memperoleh lima anak iaitu; Syarifah, Haji Ahmad, Shafiyah, Sa’diyah dan Abdur Rahman.

Salasilah juga terputus dan nama suami Aisyah juga tidak tercatat dalam salasilah.

Habibah (No. 3) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik dan Salamah (No. 4) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, keturunannya tidak tercatat dalam salasilah. Yang ramai anak dan ramai keturunan yang tercatat dalam salasilah ialah Haji Abdul Malik (No. 5) bin Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik. Sebelum menyebut keturunan beliau, perlu dicatatkan di sini bahawa Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu ini adalah salah seorang murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jadi Haji Abdul Malik bin Isa cucu Tok Ku Pulau Manis Terengganu tersebut adalah termasuk ulama besar Terengganu pada zamannya. Haji Abdul Malik (No. 5) memperoleh enam anak; Haji Muhammad al-Qadhi, Encik Ahmad, Haji Abdur Rahim, Abdur Rahman, Abdullah dan Maryam.

Haji Muhammad al-Qadhi (No. 1) memperoleh empat anak iaitu; Kaltsum, Abdullah, Abdul Malik dan Musa

Encik Ahmad (No. 2) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 2 orang, ialah: Muhammad dan Haji Abdullah.

Haji Abdur Rahim (No. 3) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 4 orang, ialah; Muhammad Encik Da, Ahmad Encik Hitam, Halimah Encik Wok dan Khadijah Encik Nik

Muhammad Encik Da (No. 1) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya seorang, ialah: Abdullah Encik Awang. Abdullah Encik Awang memperoleh anak 3 orang, ialah: Isa Encik Long, Khadijah Encik Wok dan Shafiyah Encik Nik. Salasilah terputus hingga sampai di sini.

Ahmad Encik Hitam (No. 2) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin 'lsa bin Syeikh Abdul Malik tidak tercatat nama anak dan keturunannya, yang tercatat hanya "Kubur keduanya (maksudnya Muhammad Encik Da dan Ahmad Encik Hitam) di maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir".

Selanjutnya Halimah Encik Wok (No. 3) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik juga tidak tercatat nama anak dan keturunannya, sedang adiknya Khadijah Encik Nik (No. 4) anak-anaknya ialah: Ismail Encik Su, Maimunah Encik Wok, Aisyah Encik Tih dan Satidah Encik Hitam.

Selain itu, penulis masih meragui bahawa ditarik garis ke bawah sesudah Khadijah Encik Nik juga disebut nama Tuan Syeikh Abdul Qadir (maksudnya Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas). Mengenai ini tidak jelas, kerana menurut sejarah yang terkenal, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, ulama besar yang sangat terkenal itu adalah anak Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani. Mungkin saja Haji Abdur Rahim, ayah Khadijah Encik Nik adalah betul datuk/nenek Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas itu dari pihak sebelah ibunya, dan secara kebetulan serupa nama dengan ayah beliau iaitu Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani itu. Ini dapat diketahui dengan jelas kerana Haji Abdur Rahim (ayah Khadijah) nama ayahnya ialah Haji Abdul Malik bin Isa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu, sedang Syeikh Abdur Rahim al-Fathani (ayah Syeikh Abdul Qadir) nama ayahnya ialah Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Faqih Ali.