Perhatian


Kebanyakan post di dalam blog ini disalin dari posting dari sahabat-sahabat blogger lain untuk rujukan saya pada masa akan datang. Jadi saya lampirkan sekali link ke post asal bagi menjaga hakcipta post serta memudahkan anda dan saya ke post asal. Harap Maklum

Friday, September 9, 2011

ILMU PERANG MELAYU - BAHAGIAN 7 (BAHAGIAN AKHIR)


Serangan Belanda yang pertama gagal kerana penduduk Aceh telah bersedia mati syahid dan berjaya membunuh jeneral Belanda.



Taktik Perang Secara Gerila

Salam kepada pembaca semua, ini adalah bahagian terakhir kajian saya, saya tidak mahu buat intro panjang-panjang. cuma harapan saya agar siri-siri ilmu perang yang telah saya sajikan untuk anda akan membuka alter terahsia bangsa Melayu yang telah lama tersimpan didalam DNA anda. Oleh itu manfaatkanlah nya dengan cara anda sendiri ok...enjoy the reading..:).


Sebenarnya saudara sekalian selain daripada formasi ketenteraan dan penyamaran serta tipu muslihat, masyarakat Melayu juga terkenal dengan taktik perang gerila. Taktik perang gerila sebenarnya lebih banyak diamalkan di wilayah-wilayah di semenanjung tanah Melayu dan di Sumatera berbanding di Jawa di mana orang-orang Jawa lebih suka melakukan serangan frontal. Hal ini dikukuhkan dengan catatan Godinho De Eridea yang menyatakan bahawa tentera Melayu di semenanjung tidak mempunyai taktik ketenteraan yang sama seperti taktik tentera Eropah, mereka sering menggunakan serangan yang berbentuk mengejut atau ambush dan serangan hendap yang dilancarkan di jalan-jalan yang sempit dan di kawasan hutan yang tebal.


Perajurit Aceh.


Taktik perang sebegini semakin kerap digunakan oleh orang-orang Melayu di seluruh Nusantara terutamanya apabila pihak penjajah barat mula campur tangan dalam urusan pentadbiran tempatan yang menyebabkan terjadinya penentangan atau peperangan. Di Aceh misalannya dikatakan bahawa walaupun tentera Belanda berjaya menawan banda Aceh dan Istana Sultan, namun demikian ini tidak bermakna perlawanan telah berakhir. Hal ini kerana di Aceh wujudnya kekuasaan yang besar di atas tangan pembesar-pembesar daerah ataupun Sagi. Pembesar-pembesar daerah inilah yang menjalankan peperangan secara gerila terhadap tentera Belanda selama lebih empat puluh tahun dari tahun 1973 hingga 1903. Setelah berjaya menguasai beberapa buah mukim di Aceh dan membunuh ramai rakyatnya termasuk kanak-kanak dan wanita di mukim enam, tentera marsose Belanda telah mara ke mukim Sembilan yang masih lagi tidak berjaya di tawan.


Sebuah benteng pasukan Aceh yang berjaya diserbu Belanda.


Oleh kerana tidak ingin melihat ramai rakyat terkorban dan rumah-rumah rakyat yang dibakar, pemimpin pahlawan Aceh iaitu Tengku Ibrahim Lamnga seorang Uleebalang yang terkenal, telah membawa pasukannya untuk menyerang tentera Belanda secara gerila. Pasukan Ibrahim Lamnga telah mengadakan serangan hendap terhadap patroli-patroli Belanda yang berkeliaran di sekitar Aceh. Mereka akan bersembunyi di sebalik semak dan menyerang dari belakang. Selain daripada serangan hendap, pasukan Ibrahim Lamnga juga dikatakan telah meronda sekitar wilayah-wilayah Aceh dan memusnahkan segala kemudahan dan binaan asas yang dapat membantu tentera Belanda bergerak dari satu daerah-ke daerah yang lain dengan mudah. Antaranya ialah titian buluh yang dibuat oleh tentera Belanda merentangi paya dan sawah untuk memudahkan pergerakan tentera serta rel kereta api. Semua ini dimusnahkan oleh pasukannya.



Dalam perang Naning pada 1831 di antara penduduk Naning dengan British, taktik yang sama juga telah digunakan oleh Dol Said dan orang-orangnya terhadap askar British. Dol said dikatakan telah menyerang tentera British dalam keadaan mereka tidak bersedia. Serangan secara gerila ini dicatatkan oleh Abdullah Munsyi sewaktu beliau berada di Melaka.Menurutnya, askar British yang ditugaskan untuk menyerang dol said telah melarikan diri kerana dikepung dari segenap arah tanpa mereka sedari. Hal ini menurutnya lagi telah mengakibatkan banyak barang-barang kompeni dan alatan persenjataan berjaya dirampas oleh musuh. Perkara ini turut di akui oleh residen jeneral Ibbetson yang memerintah Melaka pada masa itu. Menurut daripada laporan yang ditulis Ibbetson yakni residen jeneral Melaka, ternyata bahawa Dol Said dan pengikutnya telah melaksanakan strategi gerila yang agak mantap dan teratur.



Orang–orang Naning dikatakan telah menyekat bekalan makanan dan persenjataan serta perhubungan dengan depot tentera mereka di sungai puti dengan cara menghalang jalan dengan kayu-kayu balak bagi melambatkan mereka dan kemudian menyerang dari belakang. Akibatnya pasukan pertama yang sedang menuju ke Tabuh tidak mendapat bantuan dan bekalan yang secukupnya. Semasa perang Jawa atau perang Diponogoro juga taktik gerila telah digunakan oleh pemimpin tempatan bagi menumpaskan tentera penjajah Belanda. Pangeran Diponogoro yang didukung oleh para ulama di keraton Jogjakarta telah merancang peperangan yang telah berlarutan sampai lima tahun lamanya. Taktik gerila digunakan kerana pasukan Belanda mempunyai perbekalan makanan serta senjata yang lebih baik dan lebih canggih berbanding pasukan Jawa. Beliau selalu mengelakkan pertempuran besar-besaran dan sentiasa bertukar-tukar banteng pertahanan untuk mengelirukan musuh. Dengan cara ini banyak kemenangan diperolehnya sehinggakan pihak Belanda sukar untuk mengesan kedudukannya.



Dalam Perang Batak pada tahun 1877 juga, Raja Sisingamangaraja juga menggunakan strategi perang gerila dalam usahanya untuk mengusir Belanda dari tanah Batak. Beliau telah menubuhkan pusat-pusat latihan tentera di kampung-kampung tertentu bagi melatih anak-anak muda dalam peperangan secara komando dan gerila. Beliau juga telah mengaturkan agar serangan mengejut diadakan terhadap tentera-tentera Belanda dalam keadaan mereka kurang bersedia dan pasukan serangan berani ini terdiri daripada 20 hingga 30 orang sahaja supaya mudah untuk bergerak dan sukar dikesan musuh.



Serangan yang dilakukan oleh pasukan Sisingamangaraja juga akan dibahagi-bahagikan kepada dua kumpulan besar yang menyerang di kawasan yang berlainan. Hal ini dilakukannya bagi memecahkan tentera Belanda kepada beberapa bahagian. Dalam serangan kedua ke atas benteng Belanda di wilayah Bahalbatu, Belanda telah bertindak lebih agresif dan tidak lagi hanya bertahan di dalam kubu, sebaliknya mereka telah keluar untuk melawan dengan berkubukan belukar di sekitar benteng mereka. Namun taktik yang digunakan oleh Belanda ini dapat dihidu oleh pasukan Batak. Di bawah arahan panglima mereka iaitu O. Susuhaton, mereka diarahkan untuk berpecah kepada kelompok- kelompok kecil yang berjumlah 20 ke 30 orang dan berselindung di sebaik parit, pokok dan belukar dan menembak ke arah tentera Belanda hanya jika pasti tembakan tersebut akan kena pada sasaran dan bagi tujuan menyimpan peluru mereka.



Tindakan ini berjaya, dan telah menyebabkan ramai tentera Belanda gugur. Tentera Belanda sebaliknya telah menembak dengan rakusnya walaupun tentera Batak tidak membalas tembakan mereka. Pasukan Belanda telah dipermainkan oleh pasukan Batak ibarat tikus mempermainkan kucing kerana taktik yang digunakan adalah taktik serangan curi. Segala perancangan untuk peperangan gerila ini telah diatur oleh panglima-panglima Sisingamangaraja dengan baik sekali dan dijalankan mengikut waktu yang telah ditetapkan . pasukan-pasukan gerila yang jumlahnya kecil ini telah di letakkan di lembah-lembah dan bukit-bukit yang strategik untuk memudahkan mereka menyerang musuh secara hendap.Kearifan mereka akan muka bumi tanah Batak menyebabkan peperangan yang berlaku sering dimenangi mereka berbanding dengan tentera Belanda. Serangan pasukan kedua Sisingamangaraja di Tarutung juga menggunakan taktik yang sama iaitu taktik penyerangan secara gerila. Pasukan Batak dibahagi-bahagikan kepada pasukan-pasukan kecil yang banyak dan bergilir-gilir menyerang pasukan Belanda tanpa henti, menyebabkan pasukan Belanda keliru dan tidak tentu arah melepaskan tembakan.



Setelah satu kumpulan mengundur secepat mungkin maka satu pasukan lagi akan menyerang pula serta merta. Serangan di daerah Silindung ini juga telah diakhiri dengan kemenangan pasukan Batak dan kerugian yang besar pada pasukan Belanda. Tegasnya di sini bahawa kearifan dan kehebatan bermain dengan strategi perang adalah sesuatu yang bukan asing bagi masyarakat Melayu Nusantara termasuklah dari suku Batak, sehinggakan taktik dan strategi perang gerila yang digunakan oleh pasukan Batak ini tidak dapat ditandingi oleh pasukan tentera Belanda yang mempunyai persenjataan yang lebih canggih dan ilmu militer yang lebih formal berbanding penduduk peribumi.


Taktik Amuk Di gunakan Sebagai Salah Satu Strategi Peperangan



Amuk adalah istilah yang digunakan oleh orang Melayu untuk menggambarkan keadaan separa sedar yang menyebabkan seseorang itu melakukan pembunuhan dan keganasan yang melampaui batas peri kemanusiaan. Amuk atau mengamuk adalah sesuatu yang masih menjadi misteri bagi sejarawan, antropologi dan juga pakar psikiatri. Hal ini kerana hanya beberapa kelompok masyarakat tertentu sahaja yang mempunyai budaya sebegini dalam dunia ini dan yang paling dominan ialah rumpun Melayu terutamanya Jawa dan Madura.



Walaupun Amuk sering kali dianggap sebagai sejenis fenomena individu namun demikian ia dipercayai berasal daripada sejenis perasaan atau semangat untuk berperang. Amuk dapat dikesan dalam sejarah kerajaan-kerajaan Hindu mahupun Islam di Nusantara ini sejak seribu tahun yang lampau lagi. Kebiasaannya sebelum memulakan peperangan sudah menjadi tradisi bagi para pahlawan terutamanya untuk memupuk perasaan dan rasa marah yang membuak-buak bagi menimbulkan semangat dan keberanian untuk menghadapi musuh. Hasilnya ialah lahir satu situasi di mana pasukan pengamuk ini akan meluru kearah musuh tanpa takut akan kecederaan atau maut malahan masih boleh meneruskan penentangan walaupun telah cedera parah. Pada kebiasaannya, individu yang dalam keadaan Amuk ini tidak merasakan kesakitan atau tidak sedarkan diri serta akan lupa apa yang telah dilakukannya. Dalam peperangan, kebiasaannya taktik Amuk digunakan sekiranya pasukan pertahanan mereka dikhuatiri akan kalah atau sememangnya sudah tidak mempunyai harapan untuk memenangi peperangan tersebut. Pasukan ini juga dikenali sebagai pasukan berani mati atau pengamuk.



Di Filipina pasukan Amuk ini dinamakan Juramentados. Pasukan Amuk atau Juramentados ini digunakan dengan kerap dalam peperangan melawan Sepanyol dan juga perang melawan Amerika dalam abad ke 18 hingga awal abad ke dua puluh terutama di wilayah-wilayah selatan yang diduduki oleh masyarakat Islam seperti Maranau, Tausug, Sulu dan lain-lain yang hanya dipanggil Moro oleh orang Sepanyol dan Amerika. Menurut pandangan askar-askar Amerika yang cuba untuk menundukkan negeri-negeri Islam atau Moro di selatan Filipina, Juramentados adalah satu bentuk kepercayaan dan keyakinan melampau yang ada kaitan dengan agama Islam.


Pengamuk dibunuh tentera.

Namun hal ini ternyata tidak benar kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya membunuh diri dengan cara menyerang membuta tuli. Tegasnya lagi, orang Moro menganggap ianya sebagai salah satu cara perang suci atau jihad. Menurut catatan askar Amerika di Filipina semasa berlakunya penentangan Moro terhadap pendudukan askar Amerika, tentera Amerika banyak yang terkorban akibat dibunuh oleh penyerang berani mati ini denga cara dikelar leher sama ada dari depan atau belakang. Demi untuk mengelakkan banyak kehilangan nyawa di kalangan askarnya, Amerika telah mencipta sejenis uniform yang mempunyai kolar leher panjang dan tebal dari kulit yang diberi nama Leatherneck. Tentera Amerika yang berhadapan dengan kaum Moro ini terkejut dengan tindakan golongan Juramentados yang masih lagi menyerang dan mengamuk walaupun telah cedera parah.


Salah seorang juramentado yang berjaya dibunuh tentera US.


Kebiasaannya Juramentados ini akan dilantik atau dipilih dan dijalankan kan satu ritual oleh seorang imam daripada sesebuah kampung. Imam ini akan mencukur bulu kening bakal pengamuk, memandikannya dengan air bacaan ayat suci, memakaikannya dengan pakaian putih, bersemutar merah dan menyediakan senjata yang telah diasah hingga tajam sekali. Kemudian barulah mereka ini akan dilepaskan untuk menyerang askar-askar musuh. Mengikut catatan tentera Amerika, pada tahun 1904 Pulau Pata di selatan Filipina telah di serang bagi menundukkan seorang pembesar yang memerintah di situ bernama Maharaja Mejan. Namun Maharaja Mejan telah menentang pencerobohan tentera Amerika tersebut dengan hebat sekali walaupun tentera Amerika mempunyai senjata yang jauh lebih moden malah yang paling moden pada zaman tersebut.


Pahlawan berani mati Moro.


Mejan telah mengumpulkan sekumpulan penyerang-penyerang berani mati atau Juramentado dan telah mengarahkan mereka menyerang kapal Amerika yang cuba mendarat. Mereka bukan sahaja dipimpin oleh Mejan tetapi juga oleh seorang imam tua bernama Tugalan yang memberikan kata-kata semangat kepada mereka dan menjanjikan mereka akan balasan syurga jika mati berjuang. Dalam penyerangan tersebut tugalan adalah sasaran pertama tembakan rifle Amerika dan telah meninggal di situ juga. Melihat keadaan ini semua pengikut-pengikut Tugalan telah menyerang serentak berhadapan dengan tembakan rifle Amerika. Walaupun ada di antara mereka yang telah rebah akibat tembakan, mereka berusaha untuk terus bangkit dan menyerang semula tanpa mempedulikan kesakitan dan kecederaan mereka.

Juramentados sedang Amuk.


Walaupun mereka tidak berjaya untuk sampai ke tempat pertahanan tentera Amerika akibat daripada tembakan bertubi-tubi tentera, namun mereka tetap menyerang dan tidak ada seorang pun yang lari. Tindakan pengamuk ini dianggap tentera Amerika yang menyaksikan kejadian tersebut sebagai melanggar hukum alam, kerana mereka sepatutnya telah mati dengan satu tembakan sahaja namun mereka boleh bangun semula dan menyerang malahan ada yang bangun semula setelah ditembak bertubi-tubi sebanyak tiga kali. Selain itu terdapat juga laporan yang diberikan tentera Amerika yang mengatakan ramai dikalangkan pegawai mereka diserang tanpa amaran dan secara tiba-tiba malahan sewaktu berada di kawasan berek mereka sendiri.



Dalam satu peristiwa, dikatakan bahawa seorang pengamuk telah ditembak sebanyak lima kali di bahagian badan dan dada namun masih boleh bangun dan mengamuk. Jelas di sini bahawa sememangnya di bahagian tertentu wilayah ketamadunan Melayu sekitar abad ke sembilan belas dan awal abad ke dua puluh, Amuk telah digunakan sebagai salah satu aspek dalam peperangan. Fenomena Amuk yang digunakan oleh golongan Juramentados di wilayah selatan Filipina dianggap sangat unik dan amat sesuai dijadikan contoh penggunaan Amuk sebagai taktik menggerunkan dan menghapus musuh.


Kesimpulannya jelaslah bahawa masyarakat Melayu sejak abad ke 16 hingga abad ke 19 sememangnya sudah mempunyai kemahiran dan kebijaksanaan untuk merancang strategi dan taktik yang jitu setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka bukan sahaja berjaya dengan strategi dan taktik yang dilaksanakan malahan turut mengagumkan bangsa-bangsa luar yang terpaksa berhadapan dengan mereka. Kehebatan tokoh-tokoh strategis Melayu seperti Datuk Bahaman, Sisingamangaraja, Dol Said dan pahlawan-pahlawan Kedah dalam merancang strategi dan taktik dalam peperangan boleh dijadikan suatu contoh dan sumber kebanggaan kepada masyarakat Melayu pada masa kini. Ternyata bahawa kekurangan dari segi teknologi persenjataan bukanlah penyebab kepada kegagalan sesuatu misi ketenteraan, namun apa yang lebih penting ialah strategi yang mantap dan taktik yang jitu. Maka dengan ini tamatlah siri ilmi-ilmu perang Melayu. Sekian dari saya, wallah hu a'lam.



sumber:

No comments: